Bila kita membuat kesalahan di mana kesalahan itu secara tidak langsung telah mengguris dan menyakiti hati pihak lain, sudah tentu perasaan bersalah itu bersarang di dalam hati. Oleh itu, jalan yang terbaik adalah membiarkan pihak yang terguris itu mengambil masa untuk bertenang. Kita harus memberikan masa dan ruang kepada mereka supaya mereka dapat muhasabah diri dan begitu juga kita. Kita yang seharusnya bermuhasabah diri, bukan hanya ketika sebelum tidur, tapi harus dilakukan pada waktu yang terluang supaya diri kita sentiasa terdidik dengan sikap muhasabah diri agar diri kita sentiasa menyedari salah dan silap yang telah kita lakukan.
Setelah memberi ruang dan masa kepada pihak berkenaan, cari pula peluang untuk bersemuka atau berkomunikasi dengan tujuan meminta maaf dan berbincang tentang perkara yang dibangkitkan sehingga mengguris hati pihak berkenaan. Adat manusia, tiada yang sempurna, tiada yang terlepas dari salah dan silap. Jika pihak berkenaan sudi memaafkan kita, bersyukurlah kerana maaf itu berjaya membuang perasaan bersalah yang bersarang di hati kita. Tetapi, kita harus ingat, walaupun pihak tersebut sudah memaafkan kesalahan kita, ini tidak bermakna mereka telah melupakan kesalahan yang telah kita lakukan. Bak kata pepatah Inggeris : easy to forgive but hard to forget.
Akhir sekali, janganlah kita ulang kesalahan yang sama kerana kesalahan itu akan membina satu tembok yang tinggi di antara kita dan pihak tersebut. Semakin kerap kesalahan diulang, semakin tinggilah tembok yang terbina dan siapa tahu, satu hari nanti, perhubungan yang terbina akan terhalang dek kerana kesalahan yang selalu diulang oleh diri kita sendiri.
Langkah ini bukan saja untuk diaplikasikan kepada manusia sahaja, tapi yang paling penting, kepada Allah s.w.t.Selalulah memohon keampunan dariNya kerana kita tidak sedar bila masa kita melakukan kesalahan yang mungkin membuatkan iman kita berkurang, akidah kita tercalar dan membuatkan Allah murka terhadap kita, hambaNya yang serba lemah ini.
Wahai tuhan ku tak layak ke syurgaMu
Namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu
Oleh itu terimalah oh taubatku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar
Bait-bait lagu dendangan Raihan kerapkali bermain di minda. Secara tak langsung dengan menyanyikan bait-bait lagu ini, menandakan kita seolah-olah berdoa kepada Allah dan memohon keampunan.
salam ukhwah fillah,
Pengemis KasihMu.

No comments:
Post a Comment