Friday, August 19, 2011

Tujuh orang perempuan bertanya, seorang lelaki menjawab.





Kaum hawa selalu mengeluh dan melafazkan “susahnya jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah dan meletakkan kaum wanita dalam keadaan tertindas.

1.Keluhan remaja perempuan A:
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”

2.Keluhan isteri A:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”

3.Keluhan remaja perempuan B:
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”

4.Keluhan isteri B:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”

5.Keluhan isteri C:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”

6.Keluhan isteri D:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan remaja perempuan C:
“Wanita tak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.

*Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.

*Mereka sebenarnya membunuh wanita dan institusi kekeluargaan

Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”

Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:

“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”

1.Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

2.Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sesiapa walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”

3.Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan”

4.Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”

Beruntung perempuan ini

5.Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”

6.Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

Isteri kepada lelaki yang sedang berjihad menerima pahala jihad walaupun tidak turut sama dengan suaminya

Lelaki beriman bertanya, “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”

Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, “MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki.”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan tegakkan agamamu, nescaya syurga menanti.

Usahlah mengeluh kaum wanita. Sesungguhnya Allah swt sayang padamu

Thursday, August 18, 2011

kenangan lama mengusik jiwa

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah..syukur kepada Allah masih diberi peluang untuk hidup dan menyempurnakan ibadah puasa ini, tak lupa juga ibadah terawih. Semoga PK dan keluarga, sahabat handai dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat terus beribadat kepadaMu ya Allah.

PK merindukan saat berpuasa bersama arwah nenek. Ya, arwah nenek sudah 3 tahun meninggalkan keluarga PK. Setiap kali Ramadhan tiba, rasa sedih bersarang di hati. Sedih mengenangkan tiada lagi nenek untuk bermanja, meminta nasihat, mendengar kisah-kisah lama, berkongsi hobi. Semuanya tinggal kenangan. Tiap kali terkenang, tiap kali itu jugalah air mata ini bergenang. Semoga diri ini masih kuat untuk merelakan pemergian arwah nenek yang PK kasihi.

Mungkin entri selepas ini PK akan ceritakan kenangan lalu PK bersama arwah nenek. Tak selamanya yang bersarang di minda PK akan ingat. Mungkin dengan catatan di blog ni saja sebagai medium untuk PK meluahkan yang terbuku di hati.InsyaAllah...


Sunday, August 14, 2011

pernah rasa bersalah?

Bila kita membuat kesalahan di mana kesalahan itu secara tidak langsung telah mengguris dan menyakiti hati pihak lain, sudah tentu perasaan bersalah itu bersarang di dalam hati. Oleh itu, jalan yang terbaik adalah membiarkan pihak yang terguris itu mengambil masa untuk bertenang. Kita harus memberikan masa dan ruang kepada mereka supaya mereka dapat muhasabah diri dan begitu juga kita. Kita yang seharusnya bermuhasabah diri, bukan hanya ketika sebelum tidur, tapi harus dilakukan pada waktu yang terluang supaya diri kita sentiasa terdidik dengan sikap muhasabah diri agar diri kita sentiasa menyedari salah dan silap yang telah kita lakukan.

Setelah memberi ruang dan masa kepada pihak berkenaan, cari pula peluang untuk bersemuka atau berkomunikasi dengan tujuan meminta maaf dan berbincang tentang perkara yang dibangkitkan sehingga mengguris hati pihak berkenaan. Adat manusia, tiada yang sempurna, tiada yang terlepas dari salah dan silap. Jika pihak berkenaan sudi memaafkan kita, bersyukurlah kerana maaf itu berjaya membuang perasaan bersalah yang bersarang di hati kita. Tetapi, kita harus ingat, walaupun pihak tersebut sudah memaafkan kesalahan kita, ini tidak bermakna mereka telah melupakan kesalahan yang telah kita lakukan. Bak kata pepatah Inggeris : easy to forgive but hard to forget.



Akhir sekali, janganlah kita ulang kesalahan yang sama kerana kesalahan itu akan membina satu tembok yang tinggi di antara kita dan pihak tersebut. Semakin kerap kesalahan diulang, semakin tinggilah tembok yang terbina dan siapa tahu, satu hari nanti, perhubungan yang terbina akan terhalang dek kerana kesalahan yang selalu diulang oleh diri kita sendiri.

Langkah ini bukan saja untuk diaplikasikan kepada manusia sahaja, tapi yang paling penting, kepada Allah s.w.t.Selalulah memohon keampunan dariNya kerana kita tidak sedar bila masa kita melakukan kesalahan yang mungkin membuatkan iman kita berkurang, akidah kita tercalar dan membuatkan Allah murka terhadap kita, hambaNya yang serba lemah ini.

Wahai tuhan ku tak layak ke syurgaMu
Namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu
Oleh itu terimalah oh taubatku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Bait-bait lagu dendangan Raihan kerapkali bermain di minda. Secara tak langsung dengan menyanyikan bait-bait lagu ini, menandakan kita seolah-olah berdoa kepada Allah dan memohon keampunan.

salam ukhwah fillah,
Pengemis KasihMu.

Saturday, August 13, 2011

wahai muslimah sejati...

Yang melindungi diri dan hatinya denganmalu,
Yang melabuhkan sopannya setiap penjuru,
Yang melembutkan suara merdunya,
Yang sentiasa tabah dan cekal hatinya,
Yang tidak pernah patah semangat wajanya,
Yang memberi cinta sejagat maya,
Yang memenuhkan hati dengan keinsafan,
Yang mengosongkan kalbu dari dendam,
Yang menyemarakkan kasturi dickelopak iman…

Muslimah dilahirkan dari rusuk kiri lelaki,
Muslimah dilahirkan layak menjadi suri,
Muslimah diciptakan untuk pasangan si suami,
Muslimah diwujudkan untuk meramaikan umat Nabi…

Muslimah adalah sebahagian kurniaan Ilahi,
Muslimah adalah sebahagian keindahan duniawi,
Muslimah adalah penyeri gelap malam…

Muslimah dipandang dari peribadinya,
Yang tentunya diharap dapat melembutkan….
Hati suami dan keluarga.

Muslimah dilihat dari budi bahasanya,
Yang sepenuh hati mencurahkan khidmat murninya…

Muslimah dinilai dari kesabarannya,
Yang tahu menjaga milik dirinya,
Mengenggam iman penuh ketakwaan…

Muslimah ditinjau dari sifat keibuannya,
Yang sanggup meramaikan umat Nabi,
Bukannya mementingkan kecantika diri…

Kecantikan yang engkau perolehi milik Tuhanmu,
Perjalanan lalumu tidak akan diputar,
Sampainya waktu ketika,
Tanpa tersegera mahupun tertangguh biarpun seketika,
Ianya pasti bertandang jua,
Kerana yang berjiwa itu pasti akan merasai mati…







sumber

Entri pertama.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi..


Bismillahirrahmanirrahim.


Pengemis KasihMu (PK) bersyukur kerana masih dipanjangkan umur untuk bernafas, hidup di muka bumi ini dan diberi kesempatan menunaikan ibadah kepadaNya. Semoga PK dan yang di luar sana dikurniakan kesihatan yang baik-baik saja. Bulan Ramadhan semakin bergerak, mahu menghampiri penamatnya. sudah 13 hari menunaikan ibadah puasa. Semoga dilanjutkan usia dan kesihatan agar dapat berpuasa dan menikmati Ramadhan kali ini.

kredit : Google Image.

InsyaAllah PK akan terus berusaha dan berdakwah menyampaikan ajaranNya selagi PK diberikan kesempatan. Pk mengharapkan agar ramai sahabat dan kenalan baik berkunjung tiba dan sudi berkongsi ilmu bersama. :)

Salam ukhwah fillah dari,
Pengemis KasihMu.